Cerita keduapuluh sembilan

Nur Atika Mohd Haris
5 February 2013 ·

Assalamualaikum wbt..hanya ingin berkonngsi pengalaman bertemu dengan seorang wanita muda semasa di pejabat pos bagi menghantar bungkusan pelanggan.

Saya mengambil tempat duduk di belakang sekali sambil menunggu nombor giliran saya dipanggil. Bungkusan saya letakkan di sebelah saya atas sofa yang sama saya duduk.

Tiba-tiba seorang wanita datang lalu meminta izin untuk duduk di sebelah saya. Saya mengangkat bungkusan tersebut dan menganggukkan kepala. Benak fikiran saya mula bekerja mengingati wajah wanita di sebelah saya. Memang saya yakin, wajah itu pernah bertentang mata dengan saya sebelum ini.

"Ustazah Atika?" Pendek sahaja persoalan daripada lisan wanita tersebut tapi sudah dapat menjadi jawapan bagi persoalan yang bermain-main di minda saya.

Saya amati wanita di sebelah saya yang terus senyum kepada saya itu. Ya..dia adalah antara ibu anak murid saya di sekolah. Satu-satunya murid yang borang peribadinya tiada maklumat si bapa.

"Ustazah hantar barang ya?" Kata wanita tersebut sambil melihat bungkusan yang sudah berpindah ke tangan saya.

"Ya. Alhamdulilah..Sebenarnya jumaat lepas saya nak hantar bungkusan ni tapi tak sempat." Jawab saya mula ramah dengan wanita tersebut.

Perbualan kami terus berlalu laju hinggalah perbualan yang agak menusuk jiwa saya...

"Em..ustazah tolong tengok-tengok kan anak saya ya. Bimbang pula saya. Ya lah..dia tak dapat kasih sayang bapanya." Wajahnya terus senyum. Namun matanya menunjukkan sebaliknya.

"Em..jika boleh saya tahu mengapa ya Puan berpisah dengan bekas suami puan?" Saya memberanikan diri bertanya.

"Sebab saya tak nak anak saya mengikut perangai bapanya. Em..bapanya selalu angkat tangan pada saya depan anak saya. Saya minta dia lepaskan saya. Tapi..dia tak nak. Hinggalah saya mohon fasakh di mahkamah. Setahun lebih juga saya menunggunya. Ustazah pula, bagaimana? Ada saya melihat gambar kembar ustazah di meja ustazah masa menghantar 'Aminah' (nama samaran) ke sekolah.

Saya renung wanita di hadapan saya. Tabah nampak orangnya. Saya mula bercerita sedikit agar wanita tersebut selesa dengan luahan hatinya pada saya kerana cerita kami lebih kurang sama.

"Oh, tak sangka saya..takdir kita sama rupanya ya ustazah." Katanya dengan penuh semangat.

"Setiap apa yang Allah tentukan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita. Anggaplah ianya sebagai hadiah dari Allah untuk mendekatkan kita kepada-Nya. Bukan semua hadiah itu indah dan kita sukai. Sekalipun ia buruk dan tak cantik, ianya tetap hadiah. Insha Allah..pandang ke hadapan, dan ingat kampung halaman kita..kampung Akhirat. Insha Allah..tenang hati kita walau kadang-kadang kita rasa sakit. Tapi yakinlah..Allah yang menjadikan tangisan itu adalah Tuhan yang sama menjadikan senyuman. Saya yakin puan cukup hebat kerana dapat terima ujian ini..Yakinlah..Allah amat sayangkan puan." Akhir saya kepada wanita besi tersebut. Dia memang kuat.

Perbualan kami terhenti kerana nombor giliran wanita tersebut telah tertera di skrin.

Semasa di sekolah, bola mata saya terus mengekori gerak geri salah seorang murid di kelas saya. Ya..dialah anak kepada wanita besi yang Allah temukan dengan saya pagi tadi. Persis rupa ibunya. Moga dia kuat seperti ibunya.

Masih ternging-ngiang di cuping telinga saya akan kata-katanya ini. "Sayalah ibu dan bapa pada anak saya. Cukuplah saya rasai 'kasih sayang' seorang suami. Sudah cukup..Ustazah doakan saya kuat ya." Tiada jawapan dari saya untuk kata-katanya. Hanya mampu menganggukkan kepala sebagai meraikan luahannya itu..

*SERIKANDI SEJATI*

https://www.facebook.com/nuratika.mohdharis/posts/10200517212234023

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.